KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis MDMA dan cecair vape yang aktif sejak hujung tahun lalu membabitkan rampasan berjumlah lebih RM1.48 juta dalam tujuh serbuan di sekitar ibu negara pada 22 Ogos lalu.
Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan JSJN Bukit Aman itu, seramai lima lelaki, tiga wanita tempatan dan seorang wanita Thailand berusia 24 hingga 34 tahun ditahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita tempatan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Jaya pada pukul 7.45 malam.
Katanya, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang menyimpan daah antaranya MDMA seberat 3,587.5 gram, 3,750 katrij berisi 7,500 milliliter (ml) cecair MDMA, 2,600 botol berisi 39,000 ml cecair MDMA dan beberapa bungkusan katrij vape.
“Nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM1,485,220, yang boleh menampung penggunaan 35,257 penagih,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fadil berkata, hasil tangkapan susulan di Taman Pertama, Taman Kobena, Jalan Kepong dan Pudu Perdana membawa kepada penahanan enam lagi suspek.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu menjadikan kondominium ‘gated and guarded’ sebagai pusat memproses dan menyimpan dadah sebelum diedar melalui ‘runner’ di sekitar Lembah Klang.
Lima suspek direman selama tujuh hari bermula 23 Ogos lalu hingga semalam, manakala reman terhadap empat yang lain ditolak. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi sama, polis menyita aset suspek dianggarkan bernilai RM1.53 juta termasuk wang tunai RM533,058, empat buah kereta mewah jenis Mercedes-Benz, BMW dan Ford Mustang, dua utas jam tangan Rolex, barang kemas serta beg tangan berjenama.
Tambahnya polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222. – KOSMO! ONLINE