KUALA LUMPUR – “Sebelum bayar deposit, saya dah semak di laman web Motac dan memang ada nama syarikat ini dalam senarai, jadi saya yakin.”
Itu luahan Intan, 33, dari Cameron Highlands yang kerugian hampir RM20,000 selepas dipercayai ditipu sebuah syarikat pengendali pakej umrah.
Menurut Intan, beliau membuat semakan awal di laman web Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum menyerahkan deposit pada tahun lalu.
“Pada Disember, pihak syarikat minta bayaran penuh iaitu dua bulan sebelum penerbangan. Kami akur dan membuat bayaran. Pada Januari, kami sempat hadir kursus umrah, namun seminggu kemudian tular berita jemaah tidak dapat dihantar.
“Apabila cuba hubungi syarikat dan ejen, semua tidak lagi beri maklum balas. Saya sendiri rugi kira-kira RM20,000 melibatkan tiga ahli keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Menara KPJ, di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa, Hanna, 45, dari Selangor, berkata beliau bersama 17 ahli keluarga turut terjejas dengan kerugian hampir RM100,000.
“Kami sudah bayar penuh dan hadir kursus, tetapi selepas itu tular isu syarikat gagal menghantar jemaah. Sehingga kini, tiada sebarang perkembangan.
“Saya berharap pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dapat menyiasat segera kerana laporan sudah dibuat,” katanya.
Difahamkan, seramai 92 jemaah mendakwa kerugian keseluruhan mencecah RM506,559.10 selepas dipercayai terperdaya dengan syarikat pengendali pakej umrah terbabit yang giat mempromosikan tawaran mereka sebelum ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, hadir JSJK di Menara KPJ untuk menyerahkan surat representasi agar siasatan terhadap syarikat terbabit dipertimbangkan semula.
Sebahagian besar mangsa telah membuat laporan polis dan menuntut siasatan telus serta tindakan tegas dikenakan terhadap syarikat tersebut. – KOSMO! ONLINE