fbpx
'Double strike' ikan merah oleh Muhaini dan Dr. Aidee.

Memancing sambil berlibur di Tanjung Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tanjung Pinang di Riau, Indonesia merupakan salah satu lokasi pancingan luar negara yang terdekat dengan Malaysia, selain Thailand dan Brunei. Seronoknya di sini, tidak terasa sangat seperti di luar negara kerana suasana dan bahasanya lebih kurang seperti di Malaysia juga.

Kami selamat tiba di Jeti Tanjung Pinang, Riau kira-kira tiga jam perjalanan menaiki feri dari Terminal Berjaya Waterfront Setulang Laut, Johor Bahru, Johor.

Kemudian, kami sempat singgah ke satu kedai pancing untuk membeli peralatan yang masih tidak mencukupi.

Selepas menunaikan solat di masjid berdekatan, kami singgah di rumah makan (restoran), sebelum ke tempat penginapan kami yang terletak di Kelong Elly Trikora Pulau Bintan.

Selepas barang-barang dihantar ke bilik, kami berehat sambil menikmati pemandangan laut di sekitar kelong. Selepas makan malam, semua orang sibuk menyiapkan peralatan untuk memancing keesokan harinya.

Hari pertama
Seawal pukul 7.30 pagi, kami mula mengeluarkan barangan dari dalam bilik untuk pekerja kelong memunggahnya terus ke dalam bot pancing.

Betul-betul layanan kelas A, kami hanya ‘berlenggang kangkung’ membawa diri berjalan kaki kira-kira 20 meter dari bilik untuk menaiki bot. Pada pukul 8.30 pagi, bot seluas lebih kurang 60 x 25 kaki, siap dengan pendingin hawa mula bergerak menuju Laut Kalimantan.

Tiga jam perjalanan, kami singgah di lokasi pertama. Tidak banyak hasil yang diperolehi dan tiada tangkapan boleh dibanggakan, hanya ikan-ikan kecil sebagai pemanas gelanggang.

Malamnya, kami berpindah ke lokasi baharu. Lokasi ini boleh dikatakan bagus juga penghuni dasarnya. Pada pukul 10.30 malam, Dr. Aidee yang duduk di bahagian belakang bot membuka tirai pancingan dengan memperolehi seekor ikan mayong saiz kasar dalam anggaran empat kilogram (kg).

Naiknya ikan tadi, kemudian bergilir-gilir kami mendaratkan spesies ikan yang sama dengan saiz juga lebih kurang sahaja. Ikan mayong ini walaupun tidak berapa diendahkan oleh pemancing, namun daya juangnya padu, lebih-lebih lagi jika saiznya besar. Ini berikutan, profil tubuhnya dengan mulut yang meruncing dan ekor bentuk ‘V’, sekali gus membuatkan ia laju membelah air.

Pada masa sama, pemancing di bahagian hadapan bot berjaya menaikkan dua ekor pari dan bebe­rapa ekor ikan kaci. Saya merasakan bahagian dasar di lokasi ini berlumpur sebab itulah tiga spesies ikan ini mendominasi tangkapan kami pada malam itu.

Ahli trip dengan hasil pancingan.

Hari kedua
Selepas sarapan, tekong bot Amri memindahkan botnya ke lokasi baharu. Kami sempat singgah di beberapa lokasi dengan hasil yang kurang memberangsangkan, hanya dua ekor ikan gerong belang serta dua ekor ikan merah yang diperolehi beserta ikan-ikan dikategorikan umur remaja.

Waktu malam di hari kedua dan di tempat yang baharu, saya kena seekor ikan kaci. Melepasi tengah malam, lagi dua ekor ikan pari berjaya ditewaskan.

Perlawanan dengan ikan pari ini seperti biasa adalah lama, terutamanya jika ia berjaya memerap dengan kukuh di dasar.

Peratusan ikan makan umpan pada malam itu sangat rendah, sekali gus menyebabkan mata menjadi layu dan membuatkan saya tidur-tidur ayam. Saya pula lebih selesa tidur di luar bot daripada masuk bilik yang berpendingin hawa.

Sambil hendak terlena, boleh juga memerhatikan joran atau menukar umpan, mana tahu kalau ada rezeki, melendutlah joran itu.

Sesekali, saya terdengar tamparan ekor ikan menghentam lantai bot selepas ia didaratkan oleh geng-geng yang masih tegar berjaga sepanjang malam menunggu ragutan ikan. Golongan ini biasanya ­di­anugerahi dengan ikan-ikan gred baik seperti ikan merah, gerong belang dan jenahak, berkat kesabaran mereka.

Geram dengan hasil perolehan mereka, saya cergas memperkemaskan joran dan menggantikan umpan yang baharu.

Tunggu punya tunggu, joran saya tetap sunyi sepi, manakala yang lainnya menaikkan ikan. Tidak tegar berjaga malam, akhirnya saya masuk kabin dan tidur hingga ke pagi.

Selepas sarapan pagi, bot bergerak meninggalkan lokasi pan­cingan dan terus menuju arah pulang. Kami berhenti di beberapa lokasi dengan harapan dapat menambah koleksi ikan, namun hampa.

Pada pukul 12 tengah hari, bot bergerak pulang dan tiba di kelong pada pukul 3 petang.

Malamnya, kami berhibur di bandar terdekat serta singgah di pusat beli-belah untuk membeli ole-ole buat keluarga, sebelum pulang ke tanah air pada keesokan harinya.

Kesimpulannya, mungkin kami kurang bernasib baik untuk trip ini tetapi masih lagi diberikan rezeki.

Trip ke Tanjung Pinang ini terbaik dibuat pengalaman bagi mereka yang inginkan sedikit kelainan berbanding memancing di tempat sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN