fbpx
SULTAN Hassanal Bolkiah (tengah) dan Anwar (tiga dari kanan) ketika menghadiri Sidang ALC ke-26 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Malaysia, Brunei kecam keganasan, sekatan bantuan di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Malaysia dan Brunei bersepakat mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel melakukan keganasan serta menyekat sepenuhnya akses bantuan kemanusiaan ke Gaza hingga menyebabkan krisis kemanusiaan itu kekal berterusan.

Kesepakatan itu dicapai dalam Perundingan Tahunan Pemimpin ke-26 (ALC) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan antara Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah, kedua-dua pemimpin menegaskan isu Palestin kekal menjadi teras konflik di Asia Barat selain menyatakan kebimbangan mendalam terhadap bencana kemanusiaan di Gaza.

“Kedua-dua pemimpin turut mengecam sekeras-kerasnya keganasan tanpa batas serta sekatan sepenuhnya terhadap akses kemanusiaan dan penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin.

“Tindakan itu mengakibatkan jumlah korban semakin besar selain perpindahan paksa secara meluas, kebuluran sistematik dan kekurangan bekalan kritikal bagi menyelamatkan nyawa,” katanya hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam sektor kesihatan yang diadakan di Kompleks Seri Perdana.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kesihatan Brunei, Datuk Seri Dr. Mohammad Isham Jaafar masing-masing mewakili Malaysia dan Brunei dalam pertukaran dokumen itu.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut mengecam dan menolak sekeras-kerasnya kenyataan dibuat ‘kuasa penjajah’ termasuk keputusan tidak sah menduduki sepenuhnya Semenanjung Gaza serta visi ‘Greater Israel’.

“Ia merupakan satu pelanggaran berterusan dan serius terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusi PBB berkaitan.

“Keadaan itu juga jelas menunjukkan sikap tidak menghormati prinsip asas kemanusiaan dan ketertiban antarabangsa berasaskan peraturan,” katanya.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin turut menyuarakan sokongan penuh dan solidariti kepada rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut keamanan, kebebasan dan hak asasi.

Kata kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin mahu penyelesaian adil dan berkekalan dapat dicapai melalui pendekatan
aman berlandaskan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta resolusi PBB berkaitan.

“Kedua-dua Pemimpin mengalu-alukan sokongan global yang semakin meningkat bagi mengiktiraf Palestin tanpa prasyarat.

“Ini merupakan langkah positif ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara di bawah penyelesaian dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN