KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengumumkan beberapa lagi inisiatif dan langkah-langkah menuju projek terbengkalai sifar menjelang tahun 2030.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, inisiatif dan langkah-langkah menuju projek terbengkalai sifar menjelang 2030 tersebut akan diumumkan selepas pembentangan Belanjawan 2026 bulan depan.
“Selepas pengumuman bajet pada 10 Oktober 2025, Insya-allah KPKT akan mengumumkan beberapa lagi insiatif dan langkah-langkah menuju projek terbengkalai sifar menjelang 2030.
“Saya memang menaruh harapan yang tinggi sokongan daripada ahli-ahli Yang Berhormat supaya kita sama-sama jayakan misi agenda pembangunan negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ismail Abd. Muttalib berhubung jumlah rumah serta kedai yang terbengkalai dan jumlah pembeli terlibat.
Terdahulu, Kor Ming berkata, bilangan projek sakit telah menurun kepada 109 selepas kerajaan bertindak proaktif menyelamatkan 1,171 projek sakit walaupun ia mengambil masa.
Katanya, beliau berterima kasih kepada Jabatan Perumahan Negara yang amat komited dan profesional untuk membantu menyelesaikan projek terbengkalai.
“Projek kedai pula adalah premis komersial di luar skop Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).
“Oleh itu, kerajaan sedang buat kajian supaya kita kemukan rang undang-undang (RUU) baharu supaya pembeli kedai juga akan dilindungi oleh akta ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyindir Ismail tidak memujinya kerana berjaya membantu seramai 2,400 pembeli yang kebanyakannya pemuda Melayu.
“Beri saya masa, saya puji panjang-panjang sebab buat rumah bukan macam buat roti. Roti pun kena satu malam,” jawab Ismail. – KOSMO! ONLINE