fbpx
Gambar hiasan

Dakwaan lewat maklum keluarga pelajar jatuh bangunan, ini penjelasan KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pihaknya telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam menguruskan insiden murid jatuh dari tingkat tiga sekolah di Sabak Bernam, Selangor awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, tumpuan pihak sekolah ketika itu adalah membawa murid berkenaan ke hospital terlebih dahulu.

Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan dan fokus kepada keselamatan pelajar itu terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga.

“Pada pukul 3.20 pagi ambulans datang ke sekolah dan mengambil murid ini dan kira-kira pukul 3.40 pagi sampai ke Hospital Sabak Bernam,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan oleh ahli keluarga mangsa kononnya pihak sekolah lewat memaklumkan insiden itu.

Sebelum ini, ahli keluarga mangsa mendakwa mereka dimaklumkan mengenai insiden itu sekitar pukul 4 pagi sedangkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi.

Dr. Mohd. Azam berkata, pihaknya dimaklumkan pihak sekolah telah menghubungi keluarga mangsa setelah tiba di hospital.

“Jadi, di hospital itu telah dimaklumkan kepada bapa pelajar. Tapi apa-apa (dakwaan lambat maklum insiden) pun kita akan ada siasatan dalaman, kita akan lihat siasatan polis dan sebagainya.

“Insya-Allah, perkara yang dibangkit ini kita akan dapat perjelaskan ataupun kita akan dapat jawapannya nanti,” katanya.

Pada masa sama, Dr. Mohd. Azam berkata, beliau sendiri sempat menziarahi mangsa di Hospital Sungai Buloh hari ini dan dimaklumkan mangsa kini sedang ditidurkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI