PETALING JAYA – Keuntungan sebelum cukai (PBT) IOI Properties Group Berhad (IOIPG) merosot sebanyak 37 peratus kepada RM1.45 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (TK2025), berbanding RM2.3 bilion pada tahun kewangan lepas.
Prestasi yang lebih lemah itu disebabkan terutamanya keuntungan nilai saksama yang lebih rendah daripada hartanah pelaburan, dan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi berikutan permulaan operasi bagi Menara IOI Central Boulevard di Singapura.
Hasil Kumpulan mencatatkan pertumbuhan kecil kepada RM3.06 bilion, disokong prestasi mantap segmen Pelaburan Hartanah dan Hospitaliti & Riadah, yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 46 peratus dan 70 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lee Yeow Seng berkata, pihaknya berbesar hati dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan pasukan dalam menyampaikan keputusan membanggakan walaupun dalam cabaran persekitaran perniagaan global dan ketidaktentuan perdagangan.
“Walaupun menyedari bahawa cabaran ini mungkin berterusan, trend penurunan kadar faedah memberi petanda yang baik untuk kami.
“Memandang ke hadapan, kami kekal optimis bahawa penawaran produk kami yang pelbagai di tiga negara (Malaysia, China dan Singapura), aliran pendapatan berulang daripada portfolio pelaburan hartanah kami yang mantap, dan pandangan menggalakkan dari segmen Hospitaliti & Riadah menyediakan Kumpulan asas kukuh untuk pendapatan yang mampan.
“Kami berbesar hati untuk mengisytiharkan dividen sebanyak lapan sen untuk TK2025,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE