SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyambut baik perintah gali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri dari awal telah memberikan sokongan kepada keluarga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu dengan beliau sendiri menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka, dua minggu lalu.
“Ini adalah keputusan mahkamah dan (semua pihak) perlu akur. Kerajaan negeri sambut baik keputusan ini.
“Sebab itu (sebelum ini) saya melawat keluarga Allahyarham. Kita mahu keadilan ditegakkan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2025 di sini, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris, 22, digali semula yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua.
Dalam permohonannya, Ummu Haiman memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.
Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran Pakar Forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya. – KOSMO! ONLINE