PETALING JAYA – Masih mengekalkan sikap merendah diri, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencuri tumpuan apabila menghiburkan penumpang pesawat dalam penerbangan menuju ke Yogyakarta, Indonesia, semalam.
Menerusi perkongsian Instagram, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 46, itu meluahkan rasa teruja kerana berpeluang menghiburkan penumpang sebelum tiba di destinasi.
“Bukan selalu dapat beramah mesra dan menghiburkan penumpang di dalam pesawat. Alhamdulillah, sejam sebelum sampai ke destinasi saya sempat menguji kemampuan beberapa penumpang menyampaikan lagu saya.
“Mereka tidak pulang dengan tangan kosong kerana AirAsia menyediakan hadiah atau cenderamata dan pemenang tempat pertama menerima hadiah tiket penerbangan dari mana-mana destinasi Indonesia ke Malaysia (pergi dan balik).
“Terima kasih kepada Pengerusi Eksekutif Capital A & AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun kerana sudi menyediakan hadiah dan turut terbang bersama-sama,” tulisnya.
Dalam pesawat tersebut, Siti sempat memanggil beberapa penumpang untuk menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa sebelum menerima hadiah istimewa.
Tidak ketinggalan, dia turut menghadiahkan penumpang dengan alunan single terbaharunya, Menamakanmu Cinta menggunakan sistem interkom pesawat.
Aksi spontan Siti mendapat pujian netizen yang teruja melihat sikap rendah dirinya meskipun bergelar bintang besar.
“Bukan main jelas Siti nyanyi pakai interkom. Kenapa pramugara dan pramugari buat pengumuman macam bunyi lalat,” kata peminat.
“Untungnya satu pesawat dengan Datuk Siti, menyanyi dalam kapal terbang pun sedap,” ujar pengikut.
“Ini lebih berharga dari tiket ‘meet and great’ konsert di belakang pentas. Datuk Siti kekal merendah diri selama-lamanya,” tutur peminat lain. – KOSMO! ONLINE