LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui bergelut untuk mengatasi pendekatan Newcastle United yang terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
The Magpies yang tewas 2-3 di St. James Park kehilangan khidmat Anthony Gordon yang dilayangkan kad merah di hujung babak pertama kerana mengasari Virgil van Dijk, namun masih berupaya beri saingan dengan baik.
“Saya tidak pasti sama ada saya melihat permainan bola sepak (atau tidak) kerana terlalu banyak situasi bola mati dan hantaran jauh. Tidak banyak yang saya boleh lakukan dengan taktik seperti ini.
“Namun, saya cukup gembira apabila kami sebagai satu pasukan kekal berdiri teguh walaupun berdepan kesukaran sanjang 45 minit pertama. Kami tidak pernah terjejas dan mampu mendahului 1-0,” katanya.
Semua gol The Reds dihasilkan oleh Ryan Gravenberch, Hugo Ekitike dan Rio Ngumoha, manakala jaringan tuan rumah diperoleh menerusi Bruno Guimaraes serta William Osula.
Sementara itu, Van Dijk dan Slot turut meluahkan kegembiraan melihat kualiti serta sumbangan besar dimainkan oleh Ngumoha yang baru berusia 16 tahun pada penampilan debut di pentas kompetitif bersama The Reds.
“Jelas sekali kami tahu St. James Park adalah tempat yang sukar untuk mana-mana pasukan datang, malah perlawanan ini diadakan ketika kedua-dua pasukan dihimpit berita sensasi (isu perpindahan Alexander Isak).
“Untuk Rio (Ngumoha), ini adalah debut impian buatnya dan kami gembira dengan sumbangan besarnya kepada pasukan,” kata Van Dijk. – AGENSI