fbpx
Pesawat khas yang membawa Sultan Brunei termasuk Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah, mendarat di Pangkalan Udara TUDM Subang pada pukul 3.00 petang tadi. - Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

Sultan Brunei tiba di Malaysia, mulakan lawatan 4 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia, hari ini untuk Lawatan Negara selama empat hari di atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan negara hingga Khamis itu akan disusuli dengan Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26 (ALC).

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, pesawat khas yang membawa Seri Baginda mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 3 petang tadi.

Turut mengiringi keberangkatan ialah Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah.

“Ketibaan Baginda disambut oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim. Hadir sama mengalu-alukan keberangkatan Sultan Brunei ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil.

“Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menghadiri sambutan negara yang akan berlangsung di Istana Negara esok (26 Ogos), termasuk sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, sebagai simbolik penghormatan, Sultan Ibrahim turut berkenan menghoskan Majlis Santapan Negara bagi meraikan keberangkatan Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi dari Brunei Darussalam.

“Lawatan Negara ini mencerminkan hubungan akrab dan persaudaraan yang erat antara Malaysia dan Brunei, khususnya dalam memperkukuh kerjasama dua hala yang telah lama terjalin,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI