PEMAIN import Negeri Sembilan FC (NSFC), Mio Tsuneyasu teruja dengan gol kedua jaringnya yang telah membawa kemenangan kepada pasukan itu ke atas Selangor FC, 2-1, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.
Beliau yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-72 telah menjaringkan gol kemenangan itu ketika perlawanan hanya berbaki dua minit dalam masa tambahan sekaligus menggegarkan stadium yang dipenuhi lebih 25,000 penonton.
Pemain import dari Jepun itu, sebelum itu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83 ketika Selangor FC telah mendahului dengan gol oleh Richmond Tetteh Ankrah pada minit ke-12.
“Saya terkejut dengan gol itu walaupun saya telah berazam untuk melakukannya ketika diarahkan untuk menggantikan rakan sepasukan, A. Selvan.
“Ketika melangkah masuk ke padang saya telah memutuskan untuk membawa kemenangan kepada pasukan ini kerana itu lah yang terbaik untuk kami,” katanya kepada para pemberita selepas perlawanan malam tadi.
Sehingga kini, pemain yang berusia 23 tahun yang dipinjam dari kelab Gainare Tottori itu telah menjaringkan tiga gol termasuk satu gol dalam pertemuan menentang PDRM FC dalam saingan Piala FA pada 18 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE