fbpx
CAUDERY

Atlet cantik Britain mahu jadi juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BRUSSELS – Ratu lompat bergalah Britain, Molly Caudery sudah bersedia sepenuhnya untuk memburu gelaran dunia selepas menamatkan saingan di tempat kedua pada Liga Berlian Brussels kelmarin.

Atlet berusia 25 tahun itu cemerlang melakukan lima lompatan bersih berturut-turut sehingga melepasi had ketinggian 4.80 meter (m), namun gagal menyamai catatan terbaik musimnya apabila terhenti selepas tiga cubaan pada ketinggian 4.85m.

Kejayaan itu tetap menjadi isyarat positif buat Caudery menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun bulan depan, meskipun gelaran di Brussels dimenangi juara dunia dua kali dari Amerika Syarikat, Katie Moon yang berjaya melepasi 4.85m pada percubaan terakhir.

“Ia musim yang agak sukar kerana ada naik dan turun. Tapi untuk kembali pada prestasi sekarang memang sesuatu yang baik,” katanya.

Ditanya mengenai peluang di pentas dunia, Caudery mengakui dia kini berada pada tahap terbaiknya.

“Saya sangat bersedia dan sebab itu saya agak kecewa hari ini, tapi itu bukan emosi yang buruk. Saya tahu saya ada lebih (keupayaan) dan hanya perlu menzahirkan dalam aksi sebenar. Itu tanda saya berada di landasan tepat,” ujarnya.

Caudery sebelum ini mencipta kejutan apabila meraih gelaran juara dunia dalam dewan pada 2024, namun gagal mara ke final Olimpik Paris tahun lalu.

“Tahun lepas saya belajar banyak perkara. Kali ini saya pergi ke Kejohanan Dunia dengan perspektif berbeza berbanding Olimpik dan saya rasa itu lebih baik,” tambahnya.

Brussels menjadi penutup tirai saingan musim Liga Berlian sebelum final berlangsung di Zurich minggu depan, dengan semua atlet terbaik berdasarkan pungutan mata tertinggi bakal bertarung dalam format penentuan juara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI