MALANG – Penduduk sebuah kampung di Indonesia hanya memerhatikan ‘menara’ pembesar suara yang diletakkan di atas sebuah trak bergegar melalui rumah mereka yang biasanya sunyi, dengan bunyi bass boleh memecahkan tingkap.
Menara pembesar suara adalah perkara biasa di pulau utama Indonesia, Jawa. Menara-menara ini mendendangkan irama melodi elektronik dan muzik rakyat tradisional di pesta jalanan, namun ia kini menimbulkan kemarahan pihak berkuasa tempatan dan jiran-jiran yang dambakan ketenangan.
Timbunan pembesar suara itu terbukti sangat mengganggu sehinggakan pihak berkuasa menyekat penggunaannya bulan ini, manakala badan-badan agama mengisytiharkan bunyi bising berlebihan dan ‘merosakkan’ sebagai ‘haram’ atau dilarang dalam Islam.
“Bunyi bising ini dari berterusan dari pukul 1 tengah hari hingga 3 pagi. Mereka memainkan muzik kuat dan minum alkohol,” kata penduduk kampung Ngantru di Jawa Timur, Ahmad Suliya kepada AFP.
“Ini sangat mengganggu,” tambahnya.
Penduduk Jawa Timur berkongsi video di media sosial tentang dinding retak, jubin bumbung jatuh dan kedai-kedai rosak akibat kesan bunyi yang dikenali sebagai ‘sound horeg’, yang secara longgar bermaksud bergerak atau bergetar dalam bahasa Jawa.
Reaksi negatif orang awam memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan bulan ini yang mengehadkan tahap bunyi dan menetapkan masa serta lokasi pembesar suara boleh digunakan.
“Ia dibuat atas sebab kesihatan dan keselamatan. Tahap bunyi mesti dikawal supaya tidak mengganggu ketenteraman awam,” kata gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa kepada AFP.
Bunyi bass yang memekakkan telinga mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan, termasuk risiko lebih tinggi untuk masalah jantung bagi mereka yang terdedah.
Muzik kuat itu dimainkan pada perhimpunan jalanan yang memekakkan telinga.

Seorang wanita meninggal dunia bulan ini selepas didakwa mengalami serangan jantung disebabkan bunyi kuat menara pembesar suara di sebuah karnival yang dihadirinya, lapor media tempatan, manakala terdapat peningkatan masalah pendengaran dalam kalangan mereka yang menghadiri acara tersebut.
Kerajaan Jawa Timur telah mengehadkan tahap sistem bunyi pada 120 desibel, manakala unit mudah alih yang digunakan dalam perarakan atau protes dihadkan kepada 85 desibel.
Unit mudah alih juga dilarang digunakan berhampiran sekolah, hospital, ambulans dan tempat ibadat .
Pada Julai lalu, sebuah majlis Islam tempatan mengeluarkan fatwa bahawa bunyi bising berlebihan di pesta yang boleh menyebabkan kerosakan adalah dilarang dalam agama.
“Penggunaan sistem bunyi secara berlebihan, terutamanya semasa konvoi perkahwinan, atau mana-mana acara lain yang menyebabkan bunyi bising, mengganggu pengguna jalan raya, atau menyebabkan orang ramai mengabaikan ibadah adalah haram,” kata fatwa itu.
Penduduk tempatan biasanya menyewa menara pembesar suara untuk majlis perkahwinan, khatan dan acara Hari Kemerdekaan — semua perayaan yang boleh berlanjutan sehingga waktu subuh.
Bagaimanapun penduduk setempat dikenali sebagai Daini percaya pembesar suara adalah tradisi tempatan yang harus dikekalkan.
Dia memandang tingkapnya yang retak, yang dilekatkan dengan pita pelekat, ketika muzik bergema dari trak di Ngantru.
“Kaca itu retak semasa acara sound horeg tahun lepas. Tetapi tidak mengapa, orang di sini suka acara yang bising,” kata wanita berusia 61 tahun itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan, bunyi pada 85 desibel dan ke atas boleh menyebabkan kerosakan pendengaran dari masa ke masa, dan apa-apa di atas 120 desibel boleh menyebabkan kerosakan segera.
Beberapa penduduk Indonesia menyiarkan tangkapan skrin dalam talian aplikasi yang mencatatkan tahap bunyi pembesar suara sound horeg setinggi 130 desibel.
Pengendali-pengendali menara pembesar suara berpendapat bahawa mereka hanya memenuhi permintaan bagi menjana pendapatan perniagaan tempatan.
“Saya percaya kebanyakan orang yang tidak suka sound horeg bukan berasal dari sini,” kata David Stevan Laksamana, pemilik sewa pembesar suara berusia 40 tahun di Malang kepada AFP.
“Di Malang sahaja, perniagaan ini menggaji puluhan ribu orang. Perniagaan ini membantu ekonomi,” katanya.
Ramai penduduk tidak tahan dengan pesta jalanan yang mengganggu, namun takut untuk melaporkannya, dengan beberapa pemilik menara pembesar suara dilaporkan meletakkan kenderaan di luar rumah pengadu sambil membunyikan muzik kuat selama berjam-jam.
“Saya tidak pernah mengadu kepada ketua kampung,” kata Ahmad.
“Saya hanya berdiam diri. Saya takut diintimidasi jika saya mengatakan apa-apa,” tambahnya. – AFP