Bagi pereka fesyen tersohor Hatta Dolmat, sebuah koleksi bukan sekadar tentang potongan fabrik atau siluet di atas pentas.
Ia adalah kisah hidup, cebisan pengalaman dan cerminan jiwa yang dilipat kemas menjadi busana.
Selepas sedekad menjadi salah seorang pereka yang memperagakan busana di pentas gemilang Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), tahun ini, Hatta memilih untuk berkongsi sisi paling peribadi menerusi koleksi terbaharunya, Perahu Kertas yang merupakan sebuah penghormatan puitis terhadap perjalanan yang sarat dengan ketabahan, keberanian serta kreativiti tanpa henti untuk terus berlayar menghadapi cabaran kehidupan yang tidak menentu.
Diilhamkan daripada simbolik perahu kertas yang halus, ringan dan mudah koyak, Perahu Kertas hakikatnya lebih daripada sekadar koleksi fesyen. Ia adalah naratif emosi yang mendalam.
Bagi Hatta, ia melambangkan perjalanan fesyennya sendiri. Rapuh tetapi tetap bertahan, halus tetapi mentah, rentan tetapi penuh harapan.
Berkongsi tentang Perahu Kertas, Hatta berkata koleksinya itu kali ini didatangkan dalam potongan yang ringkas dengan pemilihan fabrik yang digayakan secara harian.
Bagi koleksi ini, Hatta menggunakan tiga jenis fabrik yang merupakan fabrik iaitu kapas, linen dan denim.
“Tiga fabrik ini adalah fabrik yang dipakai secara harian, namun sering saya ketepikan.

yang dikatakan pertama di Malaysia pada KLFW baru-baru ini.
“Jadi bagi koleksi kali ini, saya tampilkan ketiga-tiga fabrik ini dalam rona-rona lembut seperti putih, baby blue, coklat nude dan kuning mentega,” katanya.
Potongan ringkas dalam fabrik denim, linen dan kapas memberi nafas segar kepada koleksi ini, menzahirkan kesederhanaan yang anggun tanpa perlu berlebihan.
Dominasi warna putih yang suci berpadu dengan lembutnya kuning mentega serta neutralnya rona nude, menjadikan koleksi ini satu tafsiran visual tentang harapan, ketenangan dan permulaan baharu.
Tambah anak kelahiran Melaka itu, siluetnya pula diinspirasikan daripada seni lipatan kertas yang menghidupkan semula kenangan zaman kanak-kanaknya.
Menerusi persembahan Perahu Kertas, Hatta buat pertama kalinya juga bekerjasama dengan label minyak wangi tempatan, Opai Movement untuk mencipta pengalaman pentas peragaan yang penuh makna, di mana fesyen dan haruman bersatu.
Terinspirasi daripada memori zaman kanak-kanaknya, bersama-sama peragaan fesyennya, Hatta melancarkan minyak wangi baharu bernama HOPE, dengan setiap nota wangian dipilih sendiri olehnya.
HOPE menampilkan nota haruman antaranya bergamot, bunga neroli, bunga melati, vetiver, sandalwood dan musk.
Perpaduan nota-nota ini menghasilkan aroma segar, namun lembut dan ringan, bak sehelai perahu kertas.
Pengasas Opai Movement, Opai atau nama sebenarnya Aliff Awang berkata, ini merupakan kali pertama pertunjukan fesyen bergabung dengan haruman.
“Ini adalah kolaborasi pertama seumpamanya di Malaysia yang menggabungkan rekaan dan haruman secara peribadi,” katanya.
















