KOTA KINABALU – Sabah FC terus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini selepas meraih keputusan seri tanpa jaringan dengan Kelantan The Real Warriors (KTRW FC) di Stadium Likas, hari ini.
Ini juga adalah keputusan seri kedua berturut-turut buat kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super musim ini, menyaksikan Sabah FC dan KTRW FC berada di kelompok pertengahan liga dengan mengumpul dua mata.
Terdahulu, tuan rumah berdepan kesukaran dengan pendekatan dimainkan oleh KTRW FC malah beberapa percubaan dilakukan juga seakan sia-sia apabila sering terperangkap offsaid.
Seterusnya, Sabah terus dihidangkan dengan peluang terbaik namun usaha diatur masih gagal membuahkan hasil untuk berpuas hati dengan keputusan 0-0.
Aksi seterusnya menyaksikan Sabah FC akan melayan kunjungan Melaka FC di Stadium Likas pada 29 Ogos ini sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) akan berehat seketika untuk aksi antarabangsa.
Sementara itu, aksi antara PDRM FC dan Melaka FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang turut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. – KOSMO! ONLINE