MELAKA – Seorang lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat lebih 18 kilogram (kg), minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Suhaimi Abas, 46, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Sienha Mohd. Suleiman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes mengedar dadah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang tidak dikecualikan di bawah Bahagian IV Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234 Semakan 1980) atau sebarang peraturan mendapati mengedar dadah jenis heroin base berat kasar 18,250 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.10 petang di Lorong Haji Othman Kampung Bukit Lintang, Ayer Molek dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Ogos 2025.
Tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum gantung sampai mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdullah Mohd. Rodzlad tidak menawarkan jaminan kerana melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 7 Oktober depan bagi sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE