BEIJING – Seorang pencipta kandungan YouTube di China mengundang perhatian ramai apabila membina stesen kereta api bawah tanah mini khusus untuk kucing-kucing peliharaannya, lapor portal berita Free Press Journal.
Xing Zhilei membina stesen kereta api tersebut selepas diminta oleh pengikutnya di media sosial.
Menurut Zhilei, projek tersebut mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.
Rakaman video dimuat naik di laman YouTube saluran Xing’s World menunjukkan beberapa ekor kucing duduk secara santai di dalam gerabak kereta api yang sedang bergerak.
Selain kereta api boleh bergerak, stesen itu turut dilengkapi eskalator berfungsi, pintu platform automatik, lampu dan peta transit.
Rakaman video itu mencatatkan lebih 250,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Kucing di China mempunyai pengangkutan awam lebih baik daripada manusia,” kata seorang netizen.
“Video paling menakjubkan tahun ini,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI