PETALING JAYA – Aksi berani anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) dijangka menjadi tarikan utama Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan berlangsung di Dataran Bandar Baharu, Kedah, Sabtu ini.
APMM dalam kenyataan berkata, orang ramai berpeluang menyaksikan kecekapan STAR Team melakukan terjunan dari helikopter AS365N3 Dauphin ke sungai Bandar Baharu, sebelum menaiki jet ski.
“Selain itu, turut dipamerkan aksi dramatik pasukan perenang penyelamat (rescue swimmer) yang melaksanakan misi menyelamat mangsa di air,” katanya hari ini.
Katanya, pengunjung juga bakal menikmati pelbagai perkhidmatan mesra rakyat antaranya tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Termasuk perkhidmatan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia, kemudahan bas Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta khidmat nasihat berkaitan Scam Alert, PDRM.
“Penganjuran program Sua Mesra bukan sahaja menjadi jambatan antara rakyat dengan agensi keselamatan negara, malah membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam menyantuni masyarakat melalui penglibatan langsung di lapangan,” jelasnya.
Majlis tersebut dijangka disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dan terbuka kepada semua masyarakat secara percuma. – KOSMO! ONLINE