Kanser usus bermula apabila sel pada dinding usus mengalami pertumbuhan tidak normal. – Gambar hiasan

Kanser usus tak kenal usia – ‘Saya pernah bedah pesakit semuda 16 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANSER kolorektal atau kanser usus merupakan salah satu masalah yang semakin membimbangkan di Malaysia ketika ini.

Data terkini menunjukkan peningkatan kes secara berterusan dari tahun ke tahun, bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Pakar Bedah Am dan Kolorektal di KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Nurhashim Haron berkata, trend kanser itu dalam tempoh 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini semakin meningkat.

Menurutnya, lebih membimbangkan, masalah itu juga kini dikesan pada pesakit masih muda.

“Kanser usus bermula apabila sel pada dinding usus mengalami pertumbuhan tidak normal.

“Pertumbuhan ini boleh bermula sebagai ketumbuhan kecil (polyp). Jika tidak dirawat, ia berpotensi menjadi kanser,” katanya ketika forum kesihatan kanser kolorektal di ibu negara baru-baru ini.

Sementara itu, rawatan kanser usus bergantung kepada tahap masalah tersebut.

Untuk makluman, kanser itu boleh dibahagikan kepada empat tahap, iaitu pada peringkat pertama, kanser belum merebak dan terhad pada bahagian usus.

Pada tahap kedua, kanser mula menembusi dinding usus.

Memasuki tahap tiga, kanser akan merebak ke kelenjar berhampiran. Di tahap keempat, kanser akan merebak ke organ lain seperti hati atau paru-paru.

Menurut Dr. Nurhashim, pesakit perlu sentiasa peka terhadap simptom kanser tersebut.

“Antara simptom masalah ini adalah rasa sakit dan tidak selesa pada perut serta perubahan tabiat membuang air besar.

“Jika rasa sakit ini konsisten berminggu-minggu terutamanya buat mereka yang berusia 40 tahun ke atas, adalah lebih baik pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan rujukan pakar,” terangnya.

Untuk mengesan kanser usus, ujian darah serta kolonoskopi akan dilakukan.

Kolonoskopi adalah prosedur memasukkan teropong ke dalam usus untuk melihat ketumbuhan dan mengambil sampel sel sebelum dihantar ke makmal.

Ia bagi mengesahkan sama ada ketumbuhan tersebut kanser atau tidak.

Dr. Nurhashim berkata, lebih awal kanser dikesan, lebih tinggi peluang untuk sembuh tanpa melibatkan rawatan kompleks.

Kanser usus boleh dibahagikan kepada empat tahap. – Gambar hiasan

“Kita perlu membuang ketumbuhan kanser ini. Jika dapat kesan lebih awal, lebih mudah untuk kita membuangnya.

“Jika kanser usus ini dikesan pada tahap satu, peluang penyembuhannya adalah hampir 100 peratus.

“Jika dapat dikesan lewat dan kanser ini telah merebak ke organ lain seperti hati dan paru-paru, rawatan seperti kemoterapi mungkin diperlukan,” terangnya.

Bagi kanser usus, terdapat pilihan pembedahan, dan salah salah satunya adalah laparoskopi.

Ia adalah teknik pembedahan moden yang dilakukan melalui beberapa lubang kecil pada dinding perut. Teknik ini berbeza sama sekali dengan pembedahan terbuka tradisional yang memerlukan belahan besar.

“Melalui teknik laparoskopi, rasa sakit kurang dan proses penyembuhan selepas pembedahan juga lebih cepat.

“Malah melalui teknik ini, dalam tempoh dua atau tiga hari, pesakit sudah boleh balik rumah berbanding pembedahan biasa yang mengambil masa antara seminggu hingga 10 hari,” katanya.

Secara umum, risiko kanser kolorektal meningkat bagi individu berumur 50 tahun ke atas. Namun, garis panduan terkini menurunkan usia saringan awal kepada 45 tahun ke atas.

DR. NURHASHIM

Bagaimanapun, terdapat kes yang melibatkan pesakit muda. Dr. Nurhashim sendiri pernah melakukan pembedahan pada pesakit seawal umur 16 tahun.

“Kira-kira lima peratus kanser kolorektal berpunca daripada faktor genetik.

“Sekiranya seseorang mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap kanser pada usia muda, risiko mereka akan meningkat dengan ketara.

“Sebagai contoh, jika bapa saudara menghidap kanser pada usia 40 tahun, ahli keluarga yang lain disarankan menjalani pemeriksaan 10 tahun lebih awal dari usia itu iaitu sekitar umur 30 tahun,” jelasnya.

Tambahnya, selain faktor genetik, kanser usus juga berlaku secara rawak akibat gaya hidup masyarakat yang kian berubah termasuk pemakanan tidak seimbang, diet mengandungi banyak lemak dan bahan kimia.

Ujar Dr. Nurhashim, salah satu punca kepada masalah itu adalah disebabkan pengambilan makanan diproses.

Makanan diproses mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan sel badan sehingga mampu menyebabkan berlakunya kanser.

Menitipkan pesan, Dr. Nurhashim memaklumkan, kanser usus adalah penyakit yang boleh dirawat dengan baik jika dikesan pada peringkat awal.

“Mengenali tanda-tanda awal, melakukan saringan berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat adalah kunci kepada pencegahan.

“Kenali tubuh anda, jika ada sesuatu yang tidak kena, segeralah berjumpa doktor kerana tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN