fbpx
Along bersama ibunya ketika hadir di Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh Faisol Mustafa/Kosmo!

Peguam Along Cham mohon saksi henti kenyataan prejudis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Pihak pembelaan dalam kes pelawak, Along Cham, memohon supaya pendakwaan menasihati saksi utama mereka untuk tidak memberikan dan mengeluarkan sebarang komen yang bersifat prejudis terhadap selebriti itu.

Peguam Zaleha Al-Hayat yang mewakili Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad,42, membangkitkan isu itu di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani dalam prosiding sebutan kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Semasa prosiding Zaleha berkata, pihaknya mendapat maklum bahawa saksi telah memuat naik kenyataan mengatakan anak guamnya adalah seorang penagih dadah.

“Kami berhujah bahawa kenyataannya (saksi) bahawa tertuduh dalam kes ini seorang penagih dadah adalah bersifat prejudis serta menghukum tertuduh kepada seorang yang bersalah. Sedangkan tertuduh masih belum lagi didapati bersalah pada peringkat ini dan kes ini masih belum dibicarakan,” kata peguam itu.

Peguam tersebut, berikutan itu pihaknya memohon supaya pihak pendakwaan dapat menasihati saksi supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang menuduh dan bersifat prejudis.

Mendengar perkara itu, Majistret Khairatul Animah kemudian merekodkan permohonan pembelaan selain pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Luvithaa Veerasamy mengambil maklum mengenai isu dibangkitkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 September bagi sebutan semula kes termasuk keputusan representasi yang dikemukakan Along.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Nizamuddin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.49 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pukul 3.10 petang 14 Disember lalu dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, pelawak itu didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis sama seberat 49.61 gram di lokasi, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39A(1) akta sama.

Sementara pertuduhan pindaan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ ke dalam badan pada 10 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, pada tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI