BATU PAHAT – Sebanyak 18 unit kedai lama berusia hampir 100 tahun di Pekan Semerah di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Ayub Majid berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 7.02 malam sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, turut membantu memadamkan kebakaran itu adalah pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Penggaram, Ayer Hitam dan Yong Peng selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Parit Yusof serta PBS Ayer Hitam melibatkan seramai 62 anggota.
“Sebaik tiba, PKO mendapati benar berlaku kebakaran melibatkan bangunan kedai separuh kekal berkeluasan 20 x 70 kaki setiap satu sebelum kerja-kerja memadamkan api dilakukan.
“Dalam kejadian itu, PKO juga telah berjaya menyekat api daripada merebak ke tiga unit rumah kedai yang terletak bersebelahan dengan kawasan kebakaran,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Ayub lagi, kebakaran dapat dikawal pada pukul 8.41 malam dan pemeriksaan mendapati kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.-KOSMO! ONLINE