TOKYO – Sebuah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS New Orleans terbakar ketika berlabuh di luar wilayah Okinawa, Jepun, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kebakaran berlaku sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan) apabila ia berlabuh berhampiran pelabuhan milik tentera Amerika dikenali sebagai White Beach di Bandar Uruma.
Rakaman video kejadian yang dikongsi oleh stesen penyiaran NHK Jepun menunjukkan beberapa jentera bomba menyembur air ke arah kapal yang sedang dijilat api.
Tiada arahan untuk memindahkan anak kapal dan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Punca kebakaran masih belum diketahui.
Pengawal Pantai Jepun mengerahkan bot peronda ke tempat kejadian termasuk beberapa kapal daripada pasukan pertahanan negara itu.
Tahap kerosakan dan keadaan kapal juga masih belum dikenal pasti.
Ibu Pejabat Pengawal Pantai Nakagusuku di Okinawa berkata: “Kru kami sedang berusaha memadamkan api dan kami juga meminta bantuan daripada Pengawal Pantai Jepun.” – AGENSI