ISKANDAR PUTERI – Malaysia masih menunggu keputusan rasmi mengenai kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dilaporkan mahu mengenakan sehingga 300 peratus tarif ke atas import cip semikonduktor ke AS.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya belum menerima makluman rasmi daripada Washington berhubung perkara itu.
“Buat masa ini belum ada lagi apa-apa keputusan daripada Amerika Syarikat, jadi kita tunggulah. Kita kena tunggu kenyataan rasmi Presiden Trump sendiri,” katanya ringkas kepada media.
Terdahulu, Tengku Zafrul melancarkan Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) di Forest City, di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, Trump mencadangkan mahu memperkenalkan cukai ke atas import semikonduktor sehingga 300 peratus sebagai sebahagian daripada strategi ‘America First’ dan usaha untuk memperkukuh industri pembuatan cip dalam negara.
Menurut laporan daripada syarikat perkhidmatan kewangan, AS mengimport kebanyakan semikonduktor dari Taiwan, Malaysia, Israel, Korea Selatan dan Ireland.
Setakat tahun lalu, eksport semikonduktor sahaja bernilai kira-kira RM60.6 bilion, mewakili kira-kira 20 peratus daripada jumlah eksport semikonduktor Malaysia.-KOSMO! ONLINE