KUALA LUMPUR – Seorang bapa tampil membuat laporan polis selepas mengesyaki kematian anak perempuannya yang terjatuh dari tingkat 22 sebuah kondominium di Setapak, di sini, Rabu lalu berpunca akibat dibuli rakan-rakan.
Menurut lelaki berusia lingkungan 50-an yang dikenali sebagai Jeff Ho, mangsa berusia 22 tahun merupakan penuntut sebuah universiti swasta di ibu negara.
“Saya dimaklumkan pihak pengurusan kondominium kira-kira pukul 8.45 pagi bahawa anak saya meninggal dunia selepas dipercayai jatuh dari tingkat 22. Saya terus bergegas ke lokasi.
“Kemudian, rakan-rakan anak saya memaklumkan dia mengalami tekanan akibat dibuli secara mental kerana perselisihan pendapat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju hari ini.
Menurutnya yang merupakan ahli perniagaan, anak kedua daripada tiga beradik tersebut pernah meluahkan masalah sama kepada kakak dan adiknya sebelum ini.
Malah, katanya, mangsa juga pernah cuba terjun minggu lalu namun berjaya diselamatkan pengawal keselamatan kondominium berkenaan.
“Pihak berkaitan perlu memandang serius isu ini supaya kejadian sama tidak berulang hingga meragut nyawa orang lain,” katanya.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE