KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur melupuskan dadah bernilai lebih RM44 juta yang selesai dibicarakan di mahkamah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pelupusan itu melibatkan sebanyak 21,293 kertas siasatan dari 2009 hingga 2024 merangkumi pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan Peraturan-peraturan Dadah Berbahaya (AR) 1952.
Menurutnya, antara seksyen terlibat adalah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan 39A(2), Seksyen 6, Seksyen 12(2) ADB 1952 serta Seksyen 30(3) AR 1952.
“Bagi memastikan proses pelupusan mematuhi piawaian alam sekitar, polis menggunakan khidmat anak syarikat Kumpulan Cenviro, Kualiti Alam Sdn. Bhd. yang berpengalaman dalam pengurusan sisa berjadual.
“Pelupusan dilaksanakan di Pusat Rawatan Sisa Kualiti Alam, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan menggunakan fasiliti insinerator moden ‘scheduled waste to energy’ yang mesra alam,” katanya pada sidang akhbar pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.
Antara dadah yang dilupuskan ialah methamphetamine dan ketamin seberat 245.56 kilogram (kg) bernilai RM27 juta, 140.39kg MDMA (RM7 juta), 87kg heroin (RM2.1 juta), 199kg kanabis (RM5.9 juta) dan 11.22kg nimetazepam (RM224,000).
Turut dilupuskan 88.73 gram kokain (RM17,746), mitragynine dalam bentuk air ketum 1.31 juta mililiter (RM788,000) dan 90.45kg daun ketum (RM54,000).
Pelbagai bahan kimia untuk memproses dadah seberat 29.15kg dalam bentuk pepejal dan 69.13 liter dalam bentuk cecair turut dilupuskan.
“Secara keseluruhannya, pelupusan membabitkan 839.77kg dadah berbentuk pepejal dan 1.34 juta mililiter cecair bernilai RM44.3 juta. Dadah itu boleh digunakan seramai 1.17 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran. – KOSMO! ONLINE