PETALING JAYA – Keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) meneruskan pertuduhan ke atas lima remaja bawah umur dalam tragedi Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjelaskan tuntutan masyarakat supaya tindakan buli ditangani segera.
Peguam yang juga Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, ia sekali gus membuktikan komitmen negara untuk memerangi buli dan melindungi kanak-kanak.
Beliau berkata, kes pertuduhan itu adalah satu detik penting bagi sistem perundangan Malaysia dan masyarakat keseluruhannya.
“Pertuduhan itu bukan sahaja mengenai akauntabiliti individu terlibat, tetapi juga mesej kepada masyarakat tentang keseriusan jenayah buli dan kepentingan segala aspek perlindungan kanak-kanak.
“Keputusan AGC meneruskan pertuduhan buli tanpa mengganggu inkues yang sedang berjalan mengenai punca kematian adalah dihormati,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, AGC memutuskan untuk meneruskan pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan ke atas lima remaja perempuan di Mahkamah Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, Sabah, esok.
Menurut AGC, keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan.
Katanya, pertuduhan itu menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law), yang mana tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang, tanpa mengira status atau pengaruh.
“Pertuduhan ini adalah langkah konkrit yang menunjukkan bahawa aduan dan kebimbangan awam terhadap buli tidak diabaikan.
“Ia adalah saluran sah untuk menangani isu ketidakadilan dan mencari akauntabiliti, iaitu elemen penting dalam meredakan kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, masyarakat perlu membenarkan proses keadilan berjalan tanpa gangguan emosi atau tekanan yang tidak perlu kepada keluarga Zara Qairina.
Ini kerana jelasnya, proses undang-undang terutamanya yang melibatkan kematian anak adalah sangat mencabar emosi dan psikologi keluarga mangsa.
“Jangan terburu-buru dalam bertindak sehingga mengganggu proses perundangan sedia ada. Keluarga juga mungkin menghadapi tekanan awam yang tinggi, perhatian media berterusan, serta proses undang-undang yang panjang dan rumit yang boleh memakan tenaga dan emosi.
“Adalah penting bagi kita masyarakat prihatin untuk memberikan sokongan dan empati yang berterusan kepada keluarga Allahyarham dan hormati privasi mereka,” ujarnya.
Zara Qairina merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar yang meninggal dunia 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE














