GURUN – Pokok mengkundur ‘gergasi’ berusia lebih 100 tahun di Hutan Simpan Gunung Jerai, dekat sini bakal menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, sebelum ini kisah mengenai kewujudan pokok mengkundor atau nama saintifiknya, Tetrameles Nudifllor, tidak banyak diketengahkan kepada umum.
“Namun di pihak kerajaan negeri, kami melihat pokok ini memiliki tarikan tersendiri untuk menggamit kedatangan pelancong.
“Disebabkan itu, saya bersama beberapa agensi seperti Jabatan Perhutanan, Kedah Tourism, Majlis Daerah Yan serta Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah, Mohd. Shahril Harun mengambil inisiatif untuk berkunjung bagi melihat sendiri kewujudan pokok ini,” katanya di sini semalam.
Katanya, beberapa perkara telah dibincangkan dan pihaknya akan mengambil inisiatif secara berfasa bagi pastikan lokasi itu dapat menjadi tumpuan pengunjung.
“Untuk sampai ke pokok ini, pengunjung perlu melakukan perjalanan dan pendakian sejauh kira-kira satu kilometer dari kawasan peranginan popular, Titi Hayun.
“Kedudukan pokok ini juga terletak berhampiran sungai dan aspek itu menjadi nilai tambah untuk pengunjung hadir ke sini,” ujarnya.
Dengan pokok tersebut dianggarkan sebesar 20 pemeluk individu dewasa dengan memiliki ketinggian kira-kira 25 meter atau menyamai bangunan 10 tingkat.
Walau bagaimanapun setakat ini, tiada pengesahan dibuat sama ada pokok tersebut merupakan spesies mengkundor terbesar kerana memerlukan penelitian serta bancian lanjut dan kajian terhadap pokok-pokok yang sama di tempat lain.














