fbpx
Farhan aktif membuat kandungan mengenai minyak wangi dalam TikTok.

Farhan obses kumpul minyak wangi berjenama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada usia 19 tahun, ramai remaja mungkin sibuk mengumpul kasut edisi terhad atau beratur panjang untuk mendapatkan gajet model terbaharu.

Namun bagi Nor Farhan Daniel Nor Hazami, minyak wangi adalah dunianya.

Sejak di bangku sekolah menengah, remaja itu gemar menghabiskan masa di kedai minyak wangi.

Di kedai tersebut, dia bukan hanya membeli sebaliknya menghidu, meneliti nota bau dan membandingkan keunikan setiap jenis minyak wangi.

Kini, hobinya bukan sekadar mencuba, malah remaja yang mesra disapa Farhan itu sudah mempunyai ribuan pengikut di platform TikTok menerusi akaun, Farhan Fragrance.

Medium tersebut memberi peluang kepadanya untuk membuat ulasan tentang jenis-jenis minyak wangi dan baunya.

Berkongsi dengan K-Remaja, anak kelahiran Kuala Lumpur yang kini menetap di Semenyih, Selangor itu mengakui minatnya terhadap wangian bermula sejak di bangku sekolah.

Ujarnya, ketika itu, dia mempunyai seleksi wangian inspirasi atau lebih dikenali sebagai dupes kepada wangian-wangian sedia ada di pasaran.

“Memandangkan ketika itu masih bersekolah, maka wangian sebegini menjadi pilihan dan seterusnya memperkenalkan saya ke dunia minyak wangi.

“Ketika itu juga, saya cukup suka menonton ulasan daripada mereka yang pakar dalam dunia wangian di platform YouTube,” katanya.

Farhan memaklumkan, dia sudah lama ingin mempunyai platform sendiri untuk berkongsi ilmu mengenai minyak wangi kepada masyarakat di negara ini.

“Saya tersedar bahawa saya dan beberapa rakan lain yang turut meminati dunia minyak wangi kerap bercakap mengenai hal tersebut.

Decants adalah alternatif kepada minyak wangi asli dalam botol sebenar.

“Apabila saya mempunyai keyakinan bercakap di hadapan kamera dan fasih berbahasa Inggeris, saya terpanggil untuk menjadi penyedia kandungan mengenai minyak wangi,” katanya.

Selain suka bercakap tentang minyak wangi, Farhan juga menjual decants (merujuk kepada minyak wangi yang telah dipindahkan dari botol asalnya ke dalam bekas kecil) untuk tujuan berkongsi, mencuba atau dijual.

Menurutnya, dia mula menjual decants kerana mempunyai banyak koleksi minyak wangi dan ada antaranya sudah tidak dipakai.

“Saya mahu orang explore pembelian decants, khususnya mereka yang mungkin belum mampu untuk membeli sebotol minyak wangi original berharga mahal,” katanya yang kini mempunyai hampir 40 botol minyak wangi pelbagai jenama.

Sementara itu, Farhan memaklumkan, minyak wangi berjenama pertama yang dimilikinya adalah Invictus Victory daripada Paco Rabanne. Sementara minyak wangi yang telah membawanya jauh ke dalam dunia ulasan wangian adalah Stronger With You Intensely daripada Emporio Armani.

Bagi nota minyak wangi paling digemarinya pula, Farhan memaklumkan, dia cukup terpikat dengan nota berbau vanila, tobacco, kesturi dan bergamot.

Dalam pada itu, bagi mereka yang mahu mula mengumpul minyak wangi dan membuat ulasan di media sosial, namun masih kurang yakin, Farhan berpesan supaya mulakan ulasan dengan minyak wangi disukai dahulu.

“Jika anda sukakan sesuatu minyak wangi, jangan pedulikan apa orang kata terhadap wangian tersebut. Hal ini kerana minyak wangi pilihan kita perlulah sesuatu yang speaks to ourselves.

“Lama-kelamaan, proses tersebut akan menjadi mudah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN