GEORGE TOWN – Malaysia menyeru negara anggota ASEAN agar segera bertindak memperkukuh keselamatan maritim serantau bagi memastikan rantau ini kekal stabil dan tidak mudah dipengaruhi kuasa luar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ASEAN tidak boleh berdiam diri atau berpecah dalam menghadapi cabaran maritim yang semakin kompleks.
“Marilah kita berterus terang, jika ASEAN tidak bertindak sekarang, kestabilan maritim kita akan terjejas teruk. Kita tidak boleh membiarkan zon maritim berdaulat kita jatuh ke tangan kuasa asing.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Kita tidak boleh berpecah-belah. Dan kita sama sekali tidak boleh membiarkan Asia Tenggara menjadi tidak stabil. Maka, apa yang kita perlukan adalah tindakan kolektif, yang menterjemahkan dialog kepada pelaksanaan, dan cita-cita kepada pencapaian,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Panglima-Panglima Tentera Laut ASEAN ke-19 (ANCM) di sini hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung di Batu Ferringhi itu turut dihadiri semua Panglima Tentera Laut negara anggota ASEAN, manakala Timor-Leste menyertai buat pertama kali sebagai pemerhati.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, cabaran maritim kini melangkaui isu tradisional seperti pertikaian wilayah dan persaingan kuasa besar, sebaliknya merangkumi ancaman bukan tradisional seperti penangkapan ikan haram, serangan siber dan penyebaran maklumat palsu.
“Tiada satu pun tentera laut atau kerajaan yang mampu menghadapinya secara bersendirian. Oleh itu, respons kita tidak boleh berpecah-belah. Sebaliknya, ia mesti bersatu, tegas dan berpandangan jauh,” katanya. – KOSMO! ONLINE














