JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghormati permohonan dibuat ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin untuk menjalankan bedah siasat kedua dalam mencari keadilan untuk anaknya.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, pihaknya tiada halangan atas kehendak tersebut setelah keluarga itu mempunyai hak berbuat demikian.
Katanya, pihak universiti mendoakan agar keputusan yang dicapai kelak dapat memberikan keadilan yang sewajarnya kepada keluarga arwah dan semua pihak.
“UTM mengambil maklum kenyataan Ummu Haiman Bee Daulatgun, ibu kepada Allahyarham Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, dalam program #JusticeForZara.
“UTM telah memberikan kerjasama sewajarnya kepada pihak keluarga dan turut mengambil maklum mengenai permohonan untuk menjalankan bedah siasat kedua yang akan didengarkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Kita tiada halangan dan mendoakan yang terbaik dan harap apa yang hajati keluarga dapat dipenuhi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Citra Karisma 2025 di UTM Skudai, di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE.