PETALING JAYA – Lima individu bakal dituduh kerana didakwa terlibat dalam kes buli membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini.
“Seramai lima orang akan dituduh dan mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya ringkas.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menuduh beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli pelajar Zara Qairina.
AGC menegaskan keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan menggangu proses inkues yang akan berjalan.
Semalam Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah telah membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu agar suatu inkues diadakan berhubung kes kematian Zara Qairina.
Prosiding inkues itu selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593)
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu meninggal dunia 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE














