KUCHING – Penggunaan bahasa Inggeris dalam penyampaian subjek berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak dijangka diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuala Lumpur, esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu adalah antara yang akan menjadi fokus perbincangan dalam mesyuarat berkenaan, bagi mencari kaedah untuk memudahkan tuntutan Sarawak itu.
“Esok saya akan mendengar laporan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 dengan salah satunya ialah berhubung kait dengan bidang pendidikan yang dituntut oleh Sarawak.
“Sudah pasti salah satunya ialah cabaran dari segi dasar peringkat nasional, dasar bahasa dan sebagainya.
“Jadi kita akan mencari kaedah bagaimana hendak memudahkan tuntutan Sarawak untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran bidang-bidang yang melibatkan STEM…jadi itu mungkin dapat diputuskan esok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual selepas Program Bicara Eksekutif Madani di Dewan Utama Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE