SILESIA – Keely Hodgkinson kembali dengan penuh bergaya dalam aksi sulung sejak Sukan Olimpik Paris 2024 apabila muncul juara acara 800 meter (m) Liga Berlian Silesia kelmarin dengan catatan terpantas dunia musim ini.
Bintang Britain berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan dalam masa satu minit 54.74 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod kejohanan serta menewaskan atlet Kenya, Lilian Odira dan Oratile Nowe dari Botswana.
Catatan itu turut menjadi rekod kedua terpantas dalam karier Hodgkinson serta masa terbaik pernah direkodkan sejak kemenangannya dalam final 800m Olimpik Paris 2024.
Selepas berehat panjang selama 376 hari akibat kecederaan hamstring dialami Februari lalu, Hodgkinson mengakui kejayaan itu menjadi pemangkin keyakinannya menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun bulan depan.
“Itu sangat menyeronokkan. Saya memang merancang untuk berlari laju kerana hanya ada dua perlumbaan sebagai persediaan ke Tokyo iaitu di sini dan di Lausanne. Jadi ia perlu pantas, dan saya gembira ia berhasil,” katanya.
Hodgkinson bakal beraksi di Kejohanan Dunia yang bermula 13 September nanti dengan misi menukar pingat perak yang diraihnya pada edisi 2022 dan 2023 kepada emas pertama.
“Fokus saya kini sepenuhnya ke Tokyo. Saya mahu kekalkan momentum ini dan pastikan saya sampai ke puncak tepat pada masanya,” jelasnya lagi.
Menerusi prestasi semasa, Hodgkinson jelas memberikan amaran awal kepada pesaing utama di pentas dunia bahawa dirinya kembali dalam kelas tersendiri. – AGENSI















