UMPAMA berada dalam kisah dongeng dan dunia khayalan. Itulah pengalaman yang bakal dirasai oleh para pengunjung yang menjejakkan kaki di Dream Forest Langkawi (DFL).
Terletak di kawasan hutan Langkawi, DFL akan membawa pengunjung menyelami kisah-kisah rakyat dan mitos tempatan dalam hutan penuh magis.
Ketua Kumpulan Pemasaran DFL, Ann Nurbaya Hassan berkata, tempat itu merupakan sebuah taman malam interaktif yang menggabungkan warisan legenda dengan teknologi moden.
“DFL bukan sekadar destinasi hiburan, tetapi satu perjalanan yang menghidupkan kembali kisah-kisah legenda melalui gabungan alam semula jadi dan teknologi interaktif.
“Ia menawarkan pengalaman unik yang mengajak pengunjung merasai sendiri keindahan dan keajaiban cerita rakyat di Langkawi,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.
Tambah Ann Nurbaya, sejak dibuka pada 1 Mei 2023, DFL telah menambah baik pelbagai fasiliti bagi memenuhi keperluan pengunjung termasuk kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Untuk makluman, DFL terletak di Lubuk Semilang iaitu kira-kira 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan 20 minit dari Jeti Kuah.
DFL menawarkan pengalaman berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer melalui hutan hujan tropika yang diterangi cahaya warna-warni, dihiasi animasi proyeksi dan bunyi latar bagi membangkitkan suasana dongeng.
Kongsi Ann Nurbaya, laluan itu dibahagikan kepada 14 zon tematik, di mana setiap zon menampilkan kisah legenda berbeza seperti berada dalam dunia fantasi hidup.

“Sebaik melangkah ke pintu masuk Portal of Dreams, pengunjung disambut oleh persembahan wayang kulit.
“Watak Sang Gedembai merupakan penjaga cerita yang membawa pengunjung menembusi sempadan antara realiti dan fantasi.
“Setiap zon memaparkan kisah tersendiri.
“Antaranya, legenda Tasik Dayang Bunting yang terkenal dengan kisah cinta tragis, saga epik Merong Mahawangsa yang menceritakan pembentukan kerajaan Langkasuka.
“Tidak ketinggalan kisah pertarungan gergasi Mat Raya dan Mat Sawar yang membentuk landskap Langkawi,” ujarnya.
Menurut Ann Nurbaya lagi, keunikan DFL terletak pada integrasi seni penceritaan tradisional dengan teknologi imersif.
“Efek cahaya, muzik latar, aroma bunga seperti bakawali dan pementasan visual yang dramatik menjadikan setiap langkah pengunjung penuh kejutan,” ujarnya.
Selain menjadi tarikan pelancongan, DFL juga berfungsi sebagai medium pendidikan sejarah dan budaya tempatan dalam bentuk mudah difahami serta menyeronokkan.
“DFL dibuka dari pukul 7 petang hingga 12 tengah malam.

“Laluan utama boleh diakses sekitar pukul 8 malam.
“Tempat ini ditutup pada setiap Rabu kecuali pada cuti umum dan cuti sekolah.
“Bagi pengalaman yang lebih selesa, pengunjung disarankan memakai pakaian santai dan kasut yang sesuai untuk berjalan serta menggunakan losyen penghalau nyamuk,” kongsinya.
Tempahan tiket secara online amat digalakkan bagi memastikan kemasukan pada waktu pilihan tanpa perlu beratur panjang.
Harga tiket adalah berbeza mengikut kategori dan kadar istimewa diberikan untuk penduduk Langkawi atau pakej keluarga.
Sebagai contoh, tiket untuk orang dewasa Malaysia berharga RM68, manakala pakej keluarga (dua dewasa dan dua kanak-kanak) berharga kira-kira RM218 bagi warga tempatan.
Kemudahan seperti parkir percuma dan kafe turut disediakan bagi memudahkan pengunjung berehat atau menikmati hidangan di DFL.














