KUALA LUMPUR – Setelah tiga tahun, Sekretariat Gerakan Gubal Akta Anti Buli sekali lagi menggesa kerajaan agar menggubal Rang Undang-Undang Anti Buli dengan segera bagi memastikan kegiatan tersebut dapat dicegah sepenuhnya.
Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, akta tersebut mesti menyediakan definisi yang jelas mengenai buli, serta memperincikan hak dan tanggungjawab semua pihak terlibat termasuk pentadbir institusi, pelaku dan mangsa.
Beliau yang juga merupakan seorang peguam berkata, pada masa ini tiada peruntukan dalam mana-mana akta sedia ada yang secara jelas menyatakan bahawa buli adalah satu kesalahan jenayah.
“Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang berkuat kuasa pada Julai lalu serta Akta Kanak-kanak 2001 tidak memadai melindungi kanak-kanak mahupun orang dewasa daripada perbuatan buli dan diskriminasi.
“Akta yang sedia ada tidak ada definisi buli, jenis-jenis buli atau langkah rehabilitasi sekiranya pelaku merupakan kanak-kanak yang tidak boleh dipenjarakan. Akta ini perlu wujud untuk masyarakat faham apa itu buli,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Wan Azliana berkata, akta ini bukan sahaja termaktub kepada perlakuan jenayah semata-mata, namun ia merupakan satu ‘sistem’ tadbir urus yang merangkumi mangsa, pelaku, pihak pentadbiran sekolah, ibu bapa dan lain-lain.
Selain itu, jelasnya lagi, akta ini juga boleh mencadangkan hukuman alternatif yang dapat dikenakan kepada pembuli sekiranya pelaku tersebut merupakan kanak-kanak di bawah umur.
“Di bawah Akta Kanun Keseksaan, hukumannya kita nampak dahsyat iaitu penjara 10 tahun. Tapi jika yang membuli itu merupakan kanak-kanak bawah umur, dia tidak boleh dipenjarakan, hanya ke sekolah juvana.
“Jadi perlu adanya kajian daripada semua pihak sekiranya akta ini dilaksanakan untuk mewujudkan hukuman alternatif seperti membuat kerja servis komuniti atau menggantung persekolahan daam tempoh tertentu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah menghantar memorandum berkenaan sejak 31 Mei 2022 kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) bagi penambahbaikan tindakan disiplin dan undang-undang terhadap kes buli.
Katanya, sepanjang tahun tersebut mereka bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik bagi menyerahkan memorandum serta menerangkan mengenai kepentingan penggubalan Akta Anti Buli.
Bagaimanapun, katanya sehingga kini usaha pihaknya tidak menampakkan kemajuan konkrit dan pihak berkuasa yang berkenaan gagal mengambil langkah proaktif untuk menggubal akta tersebut.
“Masalah buli bukanlah perkara baharu malah sudah terjadi selama beberapa puluh tahun terutamanya di asrama. Kami hanya mampu mencadangkan, yang menggerakkan adalah pihak kerajaan. Kalau Akta Anti Gangguan Seksual boleh ada, kenapa tidak Akta Anti Buli?
“Akta ini telah pun wujud di beberapa negara luar dan kejayaan pelaksanaannya membuktikan bahawa undang-undang khusus mampu menjadi alat pencegahan yang berkesan serta melindungi mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE