KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 15 kertas siasatan penyebaran berita palsu berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahatir termasuk dakwaan mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seorang wanita berusia 39 tahun ditahan berhubung penyebaran maklumat tidak benar itu.
“Wanita itu ditahan di Rawang, Selangor sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Bagi menangani kesan psikologi ekoran insiden tersebut, Kumar berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) menjalankan intervensi ke atas 124 pelajar di sekolah terbabit yang mengalami trauma.
“Keutamaan kami adalah mendapatkan kebenaran dan memastikan keadilan bagi mangsa,” ujarnya.
Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan buli. – KOSMO! ONLINE