fbpx
Pengurusan kanan penganjur PSG menunjukkan barangan kemas yang akan dipamerkan di Pulau Pinang mulai Jumaat ini.

Pameran barang kemas himpun delegasi global di Pulau Pinang mulai 15 Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Pameran Penang Signature Gold, Gems & Jewellery (PSG) kembali semula bagi edisi kesembilannya di Pusat Konvensyen Setia SPICE Pulau Pinang, bakal  menjanjikan acara yang lebih berprestij dan berskala antarabangsa.

Pameran perdagangan emas terbesar di Asia Tenggara ini akan berlangsung dari 15 hingga 17 Ogos 2025 anjuran Elite Expo Sdn Bhd (Elite Expo) dengan kerjasama Penang Goldsmith & Jewellers Association (PGJA).

Ketua Pegawai Eksekutif  Elite Expo, Datuk Johnson Lim berkata, acara ini dijangka menarik lebih 5,000 pembeli perdagangan dan delegasi dari serata dunia.

Menurut beliau, , PSG 2025 sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai platform utama dalam memacu pertumbuhan dan perkembangan industri emas serta barang kemas di rantau ini.

Jelasnya, pempamer akan mempamerkan rangkaian koleksi barangan kemas berkualiti tinggi merangkumi emas, permata, perhiasan halus, logam berharga , mesin pembuatan moden dan inovasi pembungkusan serta penyelesaian teknikal yang terkini.

“Pameran ini eksklusif untuk pemain industri  dengan penyertaan 80 hingga 85 peratus adalah terdiri daripada pengusaha tempatan selain syarikat utama dari Singapura, Dubai, Indonesia dan Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena satu sidang akhbar di Pulau Pinang baru-baru ini.

Terdapat juga lebih daripada 120 gerai pameran yang mewakili lebih lapan negara termasuk United Kingdom, Turki, China, Thailand, Singapura, India, Jepun dan tuan rumah Malaysia.

Akses ke pameran ini adalah eksklusif dan hanya terbuka kepada pemain industri yang berkaitan dengan emas, permata dan barang kemas.

Menurut Lim, majlis pembukaan rasmi akan diadakan pada 15 Ogos ini dan ia  bakal dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen barang kemas emas secara langsung, menampilkan rekaan terkini dan eksklusif daripada pereka tempatan dan antarabangsa.

Acara ini dijangka menjadi tarikan utama kepada penggiat industri yang ingin melihat perkembangan reka bentuk serta kemewahan terkini dalam dunia perhiasan emas.

Pelbagai program sampingan yang bersifat informatif dan strategik turut disusun rapi sepanjang tiga hari pameran, termasuk seminar yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkaitan Geran Pembangunan Pasaran (MDG).

Seminar ini bertujuan membantu syarikat tempatan memperluaskan jangkauan antarabangsa mereka melalui penyertaan dalam pameran perdagangan, pemasaran digital dan misi perniagaan.

Antara forum paling dinanti-nantikan ialah sesi ramalan harga emas dan analisis pasaran global yang akan mengupas trend harga, dinamik pasaran China serta faktor ekonomi yang mempengaruhi industri emas dunia.

Sesi ini bakal menampilkan tokoh-tokoh terkenal termasuk perunding dari Metals Focus dan World Gold Council.

Satu lagi tumpuan penting ialah sesi yang dikendalikan oleh Platinum Guild International, yang akan memberi fokus kepada kebangkitan semula permintaan terhadap barang kemas platinum di pasaran Asia dan global dipacu oleh inovasi reka bentuk serta perubahan trend pengguna.

Selain itu, forum serantau bertajuk Navigasi Pasaran Barang Kemas Emas ASEAN: Cabaran, Peluang & Wawasan 2025 akan mempertemukan tokoh industri dari Thailand, Laos dan UAE untuk berkongsi pandangan tentang masa depan industri emas di rantau ini, termasuk isu regulatori, tingkah laku pengguna dan peluang perdagangan baharu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI