fbpx
Yonnyboii.

‘Sampai mati saya ingat, jumpa balik muka pembuli’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pernah menjadi mangsa buli, penyanyi Yonnyboii mengakui pengalaman buruk ketika di bangku sekolah dan asrama meninggalkan trauma terhadap dirinya.

Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 27, berkata, lebih mengecewakan apabila dewasa pembuli langsung tifak menunjukkan keinsafan seolah-olah perbuatan mereka bukan serius.

“Saya jumpa balik orang yang membuli saya. Apa yang saya perasan, mereka lupa apa yang mereka pernah buat dahulu.

“Saya tak minta mereka datang pun untuk mohon maaf, cuma saya sedih mereka seolah-olah macam tiada rasa insaf.

“Sampai mati saya akan ingat perkara ini. Bukan sebab kita nak ungkit, tapi (benda itu) kekal dalam otak,” katanya ketika sesi wawancara bersama stesen radio Hot FM.

Menurut penyanyi lagu Sakit itu, pemangsa hakikatnya menjadikan individu lemah sebagai sasaran untuk berterusan dijadikan bahan.

Bahkan katanya, sikap sambil lewa pengurusan sekolah dan warden hostel yang menganggap perkara seumpama itu sekadar usikan membuatkan ia dijadikan ‘tradisi’.

“Saya senang dijadikan sasaran buli sebab saya lemah. Perkara sebegini yang disukai kelompok pembuli.

“Apa pun bukan sesuatu yang menyeronokkan. Sebab gejala buli, saya perlu pindah randah hingga ke beberapa sekolah.

“Paling menyedihkan, orang tidak ambil tindakan sebab anggap perkara biasa sampai jadi tradisi. Warden pun tak anggap itu hal besar kerana merasakan itu cara budak-budak,” ujarnya.

Mengharapkan pihak berkaitan ambil serius gejala buli, bapa kepada seorang anak itu menegaskan impak gangguan memberi kesan kepada mangsa hingga dewasa.

Sekitar lima tahun lalu Yonnyboii juga pernah mendedahkan nyaris mahu terjun tingkap ketika usia 12 tahun selepas diejek rakan-rakan berkepala tabung.

Terdahulu, kematian seorang pelajar di Sabah, Zara Qairina yang didakwa akibat dibuli membuatkan rakyat Malaysia termasuk artis bersatu menyuarakan kekecewaan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI