PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) dan pertukaran nota melibatkan pelbagai sektor sempena lawatan rasmi Penasihat Utama Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus ke negara ini.
Pertukaran dokumen terbabit yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, pertahanan, tenaga, perdagangan serta ekosistem halal itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Muhammad Yunus.
Bagi bidang pendidikan tinggi, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili pihak Kementerian Pendidikan Tinggi bertukar nota dengan Penasihat Kementerian Kebajikan Perantau dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Dr. Asif Nazrul.
Kerjasama diplomatik turut diperkukuh melalui pertukaran nota latihan untuk diplomat antara Mohamad dan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh, Md. Touhid Hossain.
Sektor pertahanan menjadi tumpuan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memeterai MoU dengan Md. Touhid Hossain bagi meningkatkan latihan ketenteraan, perkongsian teknologi dan keselamatan serantau.
Dalam sektor tenaga, Menteri Kewangan II merangkap Pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memeterai MoU dengan Penasihat Kementerian Pengangkutan Jalan dan Jambatan; Tenaga, Sumber Mineral dan Keretapi Bangladesh, M Fouzul Kabir Khan.
MoU itu meliputi bekalan Gas Asli Cecair (LNG), pembangunan infrastruktur LNG serta produk petroleum.
Bagi memperkukuh industri halal, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bertukar nota dengan Pengerusi Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Bangladesh (BIDA), Chowdhury Ashik Mahmud Harun.
Hubungan antara pusat kajian strategik kedua-dua negara turut diperluas melalui MoU antara Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Datuk Profesor Dr. Mohd Faiz Abdullah dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Md. Shameem Ahsan.
Kerjasama teknologi dan industri pula diterjemahkan melalui MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Services Sdn. Bhd., Mohamad Fauzi Yahaya dan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI), Shabbir Ahmed Khan.
Hubungan dagang terus diperkukuh dengan MoU antara Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Seri N. Gobalakrishnan dan Pentadbir Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh (FBCCI), Md. Hafizur Rahman.
Kesemua MoU ini dijangka memberi manfaat ekonomi, memperkukuh hubungan dua hala serta membuka peluang baharu untuk kerjasama masa hadapan. – KOSMO! ONLINE