GEORGE TOWN – Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Datuk Azizee Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Azizee mengambil alih tugas Datuk Seri Hamzah Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. Jawatan itu sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abdidin.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Pulau Pinang itu diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis Pulau Pinang disaksikan Pengarah Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.
Azizee berkata, beliau akan terus mengekalkan segala pelan sedia ada sambil melaksanakan penambahbaikan selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah dalam masa terdekat.
“Melihat kepada situasi semasa, saya akan cuba mengekalkan apa yang telah ada dan segala penambahbaikan akan dilakukan selepas perbincangan,” katanya selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Pulau Pinang di sini, hari ini.
Kata Azizee, pihaknya komited untuk mengekalkan prestasi tersebut dan berusaha mengurangkannya lagi ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE