PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil beberapa langkah penting bagi memastikan isu keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya kekal terpelihara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, langkah itu turut melibatkan proses tambah baik kepada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sekolah serta langkah-langkah menangani isu disiplin termasuk salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM.
“SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.
“Audit keselamatan akan segera dilaksanakan di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian.
“Audit ini memberi tumpuan kepada pematuhan semua SOP yang terkait dengan aspek keselamatan,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.
Mohd. Azam berkata, hasil laporan audit itu akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan.
“Sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan. Ia akan dipermudahkan serta mempunyai pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi,” katanya.
Pada masa sama, jawatan kuasa reformasi keselamatan institusi pendidikan KPM juga akan ditubuhkan bagi memastikan aspek keselamatan diperkasakan.
“Keahlian jawatankuasa ini melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).
“Tiada kompromi terhadap salah laku buli. Tindakan tegas mesti diambil termasuk menerusi hukuman gantung dan buang sekolah,” katanya.
Selain itu, Program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ yang menumpukan kepada aspek khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah turut diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah.
“Pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang tidak menguruskan aduan buli berdasar kepada garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan.
“Aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat demi memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya.
Jelasnya, Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting dalam usaha pencegahan dan intervensi menangani salah laku buli.
“Pada masa sama KPM menyeru semua pihak untuk bekerjasama menangani salah laku buli secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya. – KOSMO! ONLINE