GEORGE TOWN – Pasukan Penang FC gagal memanfaatkan perlawanan pertama saingan Liga Super di laman sendiri apabila dibelasah Terengganu FC (TFC) 3-0 di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Babak pertama mula menyaksikan kedua-dua pasukan menampilkan rentak cemerlang apabila masing-masing mengadakan asakan bagi mendapatkan gol sulung.
Cubaan penyerang import Penang FC, Kipre Tchetche, menjaringkan gol pertama pada minit ke-20 dengan memberi hantaran lintang di hadapan gawang lawan tidak berhasil apabila ditepis peniaga gol TFC, Mohd. Suhaimi Husin.
Usaha penyerang berusia 37 tahun dari Ivory Coast itu membantu pasukannya menebuk sekali lagi gawang pelawat selang tiga minit kemudian juga gagal apabila ditepis Mohd. Suhaimi di pintu gawang.
Penang FC dilihat tidak mahu terus berduka ketika aksi perlawanan pertama di hadapan kira-kira 4,809 penonton apabila pemain pertahanannya, Muhammad Adib Ra’op cuba menyepak bola dari jarak jauh ke benteng Sang Penyu namun masih gagal membolosinya.
Menghampiri masa terakhir separuh masa pertama, TFC menerusi sepakan percuma pemain tengahnya, Nurillo Tukhtasinov juga tidak mengenai sasaran apabila sepakan derasnya dihalang barisan hadapan pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun keputusan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, pasukan TFC yang cuba bangkit melakukan serangan balas berhasil menembusi benteng Harimau Kumbang apabila Azam Azmi Murad berjaya menjaringkan gol pertama buat pasukan pada minit ke-50.
Pelawat terus menambah duka anak didik Wan Rohaimi Wan Ismail selang lima kemudian apabila mereka menggandakan kedudukan hasil sepakan sayap tengahnya, Gabriel Silva Costa pada minit ke-55.
TFC terus menguasai perlawanan apabila menggandakan jaringan ketiga hasil sepakan pemain tengahnya, Muhammad Khalai’f Mohd. Naskam pada minit ke-89 dengan keputusan kekal 3-0 sehingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE