PUTRAJAYA – Empat negeri di sempadan negara iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah terus merekodkan kes penyalahgunaan dan penagihan dadah tertinggi selama empat tahun berturut-turut sejak 2021.
Bahan terlarang jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) seperti pil kuda, syabu dan ekstasi kekal menjadi pilihan penagih dan paling banyak digunakan berbanding dadah tradisional iaitu heroin dan ganja.
Pada 2024, Kelantan merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 1,130 penagih bagi nisbah 100,000 penduduk, diikuti Terengganu (974), Perlis (965) dan Kedah (898).
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, negeri di sempadan merekodkan jumlah tertinggi sejak 2021 hingga 2024 dibanding negeri maju termasuk Selangor dan Kuala Lumpur.

“Selain permintaan tinggi, faktor kemasukan dadah yang berleluasa dari negara jiran termasuk Thailand turut menyebabkan kes di negeri-negeri terbabit kekal tinggi berbanding tempat lain.
“Selain itu, latar belakang, sejarah, hubungan kekeluargaan dan aktiviti perniagaan rentas sempadan turut menjadi faktor penyumbang kepada kemasukan dadah terutama di sempadan negara,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Untuk rekod, jumlah penyalahgunaan dan penagihan dadah di Malaysia merekodkan seramai 192,857 orang pada 2024, berbanding 145,526 (2023), 137,176 (2022) dan 123,149 (2021).
Angka itu berdasarkan penetapan gred peringkat antarabangsa dengan pengiraan dibuat bagi 100,000 penduduk memandangkan jumlah populasi di setiap negeri berbeza.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, Melayu merekodkan jumlah tertinggi bagi kes penyalahgunaan dan penagihan dadah apabila merekodkan seramai 145,877 orang pada 2024.
Jelasnya, statistik tertinggi berbanding kaum lain turut direkodkan pada 2023 iaitu seramai 111,284 orang, diikuti 108,705 orang (2022) dan 97,068 orang (2021).
“India pula mencatatkan seramai 14,935 orang, manakala Cina seramai 14,861 orang tahun lalu,” ujarnya.
Ruslin berkata, penyalahgunaan dan penagihan dadah jenis ATS termasuk pil kuda, syabu dan ekstasi kekal menjadi pilihan apabila merekodkan seramai 139,909 orang tahun lalu.
“Dadah jenis perangsang itu menjadi antara pilihan utama kerana mudah diperoleh di pasaran berbanding jenis lain ekoran dijual dalam bentuk serbuk atau kristal.
“Ini sekali gus menyebabkan dadah tradisional seperti opiat, heroin dan candu termasuk ganja kurang menjadi pilihan apabila masing-masing mencatatkan sebanyak 39,895 kes dan 7,121 orang tahun lalu,” ujarnya.
Mengulas mengenai ATS, Ruslin berkata, kebanyakan individu mengambil dadah itu bagi mendapatkan rasa gembira dan bersemangat lebih-lebih lagi ketika berhibur.
“Dalam situasi ini, pengambilan ATS seperti pil kuda boleh menjadikan seseorang itu tidak berasa letih selain mampu berjaga malam dan kekal fokus. Ini berikutan ATS ini akan memberi kesan kepada peningkatan tumpuan dan waspada terutama kepada pelajar.
“Pengambilan ATS turut melibatkan pelajar. Mereka mengambilnya untuk berjaga malam dan beri tumpuan kepada pelajaran,” katanya.
Terdapat individu yang mengambil ATS untuk menurunkan berat badan.
“ATS juga diambil untuk tujuan hiburan dan rekreasi yang mana mereka rasa ia lebih selamat berbanding dadah lain.
“Tanpa sedar, ATS akan mengakibatkan khayal dan ketagihan selain withdrawal symptom dan masalah sosial berlebihan jika tidak terkawal,” katanya.














