MENGGABUNGKAN elemen muzik dengan kulinari menjadi tarikan utama kafe Break Room di Jalan Skudai Batu 6 1/2, Johor Bahru, Johor yang bukan sahaja menyajikan hidangan lazat tetapi turut menyediakan nuansa suasana berbeza berbanding kedai makan biasa.
Bagi pemiliknya, Ahmad Adam, 34, Break Room mengetengahkan suasana unik itu kerana ingin tampil berbeza di samping menyediakan masakan ala Barat sambil mengisi semula tenaga yang sepadan dengan namanya iaitu Break Room. Orang ramai menjamu selera dengan iringan muzik yang dimainkan deejay.
“Kedai ini dibuka secara rasmi pada Jun 2025 yang diberi nama Break Room, terdapat dua makna di sebaliknya iaitu pertama merujuk kepada tempat untuk berehat seketika sambil menikmati makanan, bersantai dan mengembalikan mood. Ini boleh diumpamakan seperti berehat sekejap di pantri pejabat.
“Makna kedua pula merupakan sindiran santai terhadap budaya kerja berlebihan, seolah-olah membebaskan diri daripada gaya hidup yang terlalu sibuk.
“Saya suka dengan konsep kafe ini sebagai tempat untuk mereka sedang bekerja keras atau bersantai sepenuhnya,” katanya kepada CitaRasa.
Antara hidangan utama yang menjadi kegemaran pelanggan ialah steak and eggs, halibut fish burger, prawn aglio olio, tandoori chicken burger dan fried chicken burger.

Setiap hidangan disediakan dengan terperinci bagi memberi fokus kepada rasa asli agar lebih autentik dan bersesuaian dengan cita rasa pelanggan di samping memberi sentuhan peribadi Break Room khususnya sos pencicah.
“Steak and eggs menggunakan daging ribeye yang diperap dengan beberapa bahan seperti garam, lada hitam dan sedikit mentega bawang putih bagi mengekalkan rasa asli daging sekali gus, memastikan kualitinya kekal terpelihara.
“Makanan ini dihidangkan bersama telur yang dimasak sempurna, kentang goreng potongan tebal bersama sos chimuchurri (sos pencicah) hasil buatan kami sendiri agar memberikan rasa berbeza,” katanya.
Hidangan halibut fish burger pula menampilkan isi ikan yang diperap dan digoreng rangup dan disajikan bersama sos tartar buatan sendiri dengan roti brioche yang dibakar dan ditambah kaviar.
Bagi memastikan hidangan kekal segar agar tidak menjejaskan rasa, udang harimau yang digunakan untuk masakan prawn aglio olio dipilih segar dan diperap dengan bawang putih, kepingan cili dan sentuhan lemon.

Begitu juga dengan ayam tandoori yang diperap semalaman dalam yogurt dan rempah khas sebelum dibakar sekata untuk rasa asap (smoke) sempurna.
Bagi memberikan pengalaman berbeza, Ahmad memberitahu, beberapa hidangan akan ditukar dari semasa ke semasa mengikut musim agar pelanggan tidak berasa jemu.
“Ada beberapa item dalam menu akan ditukar mengikut musim tertentu bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk mencuba hidangan berbeza dan menjadi tarikan untuk memberikan pengalaman baharu.
“Kami menggabungkan rekaan industri dan gaya jalanan agar dapat mewujudkan suasana yang bertenaga kepada sesiapa sahaja di samping pilihan rona terang seperti jingga dan hijau emerald.
“Kami berharap pelanggan yang datang bukan sahaja dapat menikmati hidangan lazat tetapi melarikan diri sebentar dari kesibukan kerja dengan bersantai serta mengharapkan Break Room dapat menjadi butang reset kepada mereka,” ujarnya.








