fbpx
MUAY thai antara salah satu sukan yang akan dicadang supaya dipertandingkan pada Sukma Selangor 2026.

Selangor setuju cadang tambah tiga sukan pada Sukma 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor mengambil keputusan supaya sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 mencadangkan tiga jenis sukan tambahan dipertandingkan pada temasya sukan tersebut.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas membuat penelitian.

Justeru, tiga jenis sukan termasuk silambam, muay thai dan petanque akan dicadangkan kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukma supaya dipertandingkan pada temasya sukan yang memasuki edisi ke-22 itu.

“Setelah meneliti semua permohonan, rayuan dan maklum balas yang dibentangkan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar hari ini memutuskan agar sekretariat Sukma Selangor mengemukakan cadangan agar tiga sukan tambahan dipertandingkan dalam Sukma ke-22.

“Atas semangat kebersamaan dan demi memacu pembangunan sukan negara, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju mencadangkan tiga sukan tambahan, iaitu petanque, muay thai dan silambam untuk dipertandingkan pada Sukma Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun, Najwan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sukma Selangor 2026 menjelaskan, sebarang keputusan berhubung cadangan tersebut akan dibuat selewat-lewatnya 15 Ogos ini, tertakluk kepada persetujuan semua wakil negeri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak supaya menghentikan sebarang usaha untuk mempolitikkan sukan dengan sentimen perkauman kerana menganggap sukan adalah medan menyatukan rakyat.

“Cadangan ini merupakan bukti dan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk memperluaskan penyertaan serta memperkasakan pelbagai disiplin sukan bermula di peringkat akar umbi hingga ke kebangsaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI