KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sedang mengesan seorang individu disyaki dalang sindiket penipuan pelaburan.
Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap kes penipuan pelaburan yang dikendalikan sebuah syarikat dalam negara.
Menurutnya, sejumlah 279 laporan polis telah diterima membabitkan nilai kerugian berjumlah RM2.31 juta.
“Berdasarkan siasatan, mangsa dalam kes ini menyertai pelaburan mengikuti webinar yang dianjurkan oleh syarikat terbabit.
“Syarikat menawarkan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan kepada setiap pelabur,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Rusdi berkata, pada peringkat awal, pelabur memperoleh keuntungan, namun pelbagai alasan diberikan dan pulangan yang dijanjikan tidak lagi dibayar.
“Bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, polis sedang mengesan Mohd. Ezman Zamani yang menetap di Rawang, Selangor.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd. Fikri Najib Ismail di talian 013-9839854,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE