JEMPOL – Seorang pemandu bas yang sebelum ini tular membawa kenderaan terhuyung-hayang dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kenderaan sehingga mengorbankan nyawa minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini.
Tertuduh, Buang Tohak, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu bas jenis Hino telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan cara yang merbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian kepada seorang warga emas perempuan berusia 61 tahun.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di kilometer sembilan, Jalan Bahau-Rompin, di sini, pada 1 Ogos lalu. Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Adam Hasan.-KOSMO! ONLINE














