PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berikrar akan melindungi institusi kehakiman dan akan mempertahankan kebebasan badan itu.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Hakim Negara baharu hari ini, Wan Ahmad Farid mengajak semua pihak iaitu semua hakim, pegawai kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia, serta semua pihak untuk bersama membina sistem kehakiman yang bebas, berdaya tahan, cekap, berilmu dan mudah diakses.
“Sekarang marilah kita menoleh ke hadapan, membina masa depan badan kehakiman yang bebas, berdaya tahan, cekap, berilmu dan mudah diakses. Marilah kita lakukan ini demi negara tercinta,” katanya ketika berucap di Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Minggu lalu, Wan Ahmad Farid hadir bagi majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman, di sini.
Wan Ahmad Farid, 62, yang sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib, awal bulan ini.
Sebelum itu, beliau telah selesai mengangkat sumpah di Istana Negara dengan pengurniaan surat cara pelantikan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Beliau yang berasal dari Kuala Terengganu, memulakan kerjaya dalam bidang perundangan selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) daripada University of West London pada 1985 dan Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice – CLP) dari Universiti Malaya pada 1986.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dari 2003 hingga 2008, sebelum menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.
Pada 2024, Wan Ahmad Farid merupakan hakim yang memainkan peranan penting dalam membuat keputusan dalam kes kepentingan awam melibatkan saman pemula difailkan peguam Dr. Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berhubung kuasa YDPA dalam mengisytiharkan darurat.
Pada majlis itu angkat sumpah itu, selain Wan Ahmad Farid turut mengangkat sumpah jawatan ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Abu Bakar menggantikan Hakim Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu manakala Azizah dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Hakim Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara.
Pada 1 Julai lalu, Tengku Maimun menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak pada hari terakhir beliau berkhidmat sebagai hakim tertinggi negara di Mahkamah Persekutuan.
Tengku Maimun menyampaikan ucapan terima kasih itu bagi mewakili dirinya dan seorang lagi hakim Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang turut bersara wajib. – KOSMO! ONLINE