MARAN – Seorang doktor klinik swasta memberi amaran mengenai peningkatan ketara pesakit yang mengalami simptom komplikasi cuaca panas melampau di daerah Maran dan Temerloh, susulan gelombang haba yang mencatat suhu sehingga 37 darjah Celsius ketika ini.
Dr. Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Sood berkata, pada masa ini kliniknya di Bandar Tun Abdul Razak di Jengka menerima lebih ramai pesakit yang hadir dengan simptom strok haba peringkat awal sejak minggu lalu.
“Ramai datang dengan aduan pening kepala, suhu badan tinggi, batuk, kulit kering dan keletihan.
“Ini semua tanda awal komplikasi haba dan jika dibiarkan boleh membawa kepada strok haba yang serius,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, strok haba ialah kecemasan perubatan yang boleh mengancam nyawa, terutama warga emas, kanak-kanak dan mereka yang terdedah lama kepada cuaca panas.
Beliau memberitahu tanda-tanda utama strok haba termasuk suhu badan sangat tinggi, sakit kepala berdenyut, loya dan muntah, kulit panas, merah dan kering, rasa pening, berpinar, keletihan melampau dan batuk berpanjangan.
Katanya, simptom yang sudah berada di tahap bahaya pula termasuk kekeliruan, sawan, kejang otot dan pengsan.
“Jika alami mana-mana tanda ini, segera dapatkan rawatan, sejukkan badan, minum air, cari tempat redup, lap badan dengan tuala basah,” katanya.
Dalam pada itu Rosimah Hamdan, 58, dari Felda Jengka 2 berkata, dia terpaksa bercuti sakit selepas mengalami sakit kepala dan keletihan melampau ketika bekerja di sebuah kantin di Felda berkenaan.
“Mula-mula saya fikir pening biasa, tetapi bila batuk makin kuat, kepala rasa berdenyut dan badan lesu saya terus ke klinik. Doktor sahkan saya alami dehidrasi.
“Alhamdulillah selepas mendapat rawatan dan berehat di rumah saya semakin pulih dan akan lebih berhati-hati dalam cuaca panas selepas ini,” katanya.
Sementara itu Mohd. Zukri Mohd., 37, seorang nelayan Sungai Pahang di Temerloh berkata, cuaca panas terik memaksanya mengurangkan aktiviti menangkap ikan liar kerana bimbang suhu panas menjejaskan kesihatannya.
Katanya, jika lama berada di tengah panas di sungai pada masa ini dia akan cepat berasa pening kepala, mata berpinar dan cepat dahaga.














